Tuesday, 29 November 2016

Industri pertanian

KEPENTINGAN, POTENSI DAN CABARAN PERNIAGAAN BERASASKAN PERTANIAN DI MALAYSIA
PENGENALAN
Sektor pertanian sememangnya merupakan sektor yang terpenting bagi negara-negara membangun seperti Malaysia. Malah ia merupakan antara ciri terpenting yang membezakan status antara negara-negara membangun dan negara-negara maju. Sektor ini jugalah yang telah menyumbang kepada asas pembentukan ekonomi Malaysia di dalam era selepas merdeka yang mana pada masa tersebut, majoriti penduduk tertumpu kepada aktiviti ekonomi berasaskan pertanian dan perlombongan.
Pertanian adalah merupakan tunggak asas kepada kehidupan manusia baik dari segi sumber makanan, kewangan dan ekonomi. Dengan melakukan aktiviti-aktiviti berasaskan pertanian, seseorang itu mampu menjana pendapatan yang lebih besar dan bukan sekadar untuk keperluan dirinya sahaja. “ Pertanian adalah perniagaan “ sememangnya ada kebenaran. Situasi yang membolehkan aktiviti pertanian itu menjadi satu perniagaan boleh terjadi apabila pengeluaran hasil pertanian pekebun atau peniaga ini tadi bukan sahaja telah melebihi keperluan sara hidup diri, malahan telah dapat memberi keuntungan kepada pengusahanya tadi. “ Pertanian adalah perniagaan “ juga merupakan visi yang sangat popular. Ia bertujuan untuk mentransformasikan Malaysia daripada sebuah negara perindustrian kepada sebuah negara pertanian. Persepsi rakyat terhadap sektor pertanian juga perlu diubah dan rakyat perlu lebih berani mengambil risiko serta mula berbakti kepada tanah. Pertanian perlu diceburi oleh segenap lapisan umur dan bukan hanya petani-petani yang sudah lanjut usianya.
Tumpuan kerajaan kepada sektor pertanian bukanlah bersifat satu langkah ke belakang. Usaha ini dilihat sebagai salah satu usaha kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat Malaysia dan seterusnya membantu menambah hasil pendapatan negara.





ISI-ISI
2.1 KEPENTINGAN BIDANG PERTANIAN
Mampu Mengembangkan Industri Desa
Hal ini jelas terbukti melalui penubuhan industri kecil sederhana ( IKS ) yang membentuk penduduk di luar bandar untuk meningkatkan pendapatan mereka. Antaranya ialah dengan pelancaran program “ Satu Daerah Satu Industri “ yang memberi fokus kepada sektor pertanian. Pelbagai usaha telah dijalankan oleh pihak kerajaan untuk membantu golongan luar bandar meningkatkan pendapatan mereka melalui sektor pertanian. Sememangnya, berbudi kepada bumi pasti tidak akan menyesal. Jelaslah bahawa industri pertanian ini dapat mengembangkan industri desa dan menaikkan taraf hidup rakyat.
Sistem Perhubungan Juga Mampu Dimajukan Dengan Sektor  Pertanian
Semasa era penjajahan British, jalan raya telah dibina untuk memudahkan mengangkut hasil pertanian ke pelabuhan. Negara-negara maju di dunia juga terkenal dengan kemajuan sistem perhubungan mereka menerusi kegiatan pertanian. Jika di Sabah dan Serawak, bentuk muka bumi yang berbukit bukau menjadi rintangan untuk memajukan sektor pertanian mereka. Oleh sebab negeri-negeri tersebut kaya dengan hasil hutan, pesawat ringan telah digunakan untuk mengangkut hasil pertanian. Maka jelaslah bahawa industri pertanian ini mampu memajukan sistem perhubungan di sesebuah kawasan.
Menambah Peluang Pekerjaan
Industri pertanian ini sebenarnya mampu menyelesaikan masalah pengangguran yang menghantui rakyat Malaysia ketika ini. Bagi memulihkan persepsi rakyat terutamanya generasi muda terhadap pertanian, kerajaan telah menyenaraikan banyak intensif dan kemudahan bagi mendorong mereka menyertai sektor pertanian ini. Pelbagai program pertanian yang bernafas baru dan berinovasi khusus untuk menambahkan produktiviti serta pendapatan petani di Malaysia telah diperkenalkan.

Pertanian Juga Dapat Dijadikan Perniagaan Apabila Konsep Agro Pelancongan Diterapkan
Agro pelancongan dibangunkan oleh Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani manakala Kementerian Pelancongan membantu dari aspek promosi. Ia adalah satu konsep pelancongan yang berkembang pesat kerana Malaysia kaya dengan keindahan alam semulajadinya. Pelbagai aktiviti berkaitan dengan sektor pertanian dan perladangan disediakan kepada para pelancong. Antara aktiviti yang mendapat sambutan dalam agropelancongan ini adalah lawatan ke dusun buah-buah dan ladang ternakan, penyelidikan, rumah penginapan dan sebagainya. Felda Residence Tekam yang terletak di Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Razak ( PPPTR ), Jerantut, Pahang adalah antara contoh pusat peranginan agro-pelancongan yang berbaloi untuk dikunjungi.
Selain menjadi pusat pelancongan berasaskan pertanian, ianya juga turut menyediakan lawatan ke ladang buah-buahan seperti nangka, durian, rambutan, manggis, langsat, duku dan jambu mawar. Tetamu juga turut diajar tentang teknik pertanian moden yang digunakan di kawasan itu.
Menggalakkan Pengaliran Wang Masuk
Pertanian juga turut memberi keuntungan yang besar kepada pelabur dan pengusaha yang melakukannya. Sekiranya pengusaha menitikberatkan aspek kuantiti dan kualiti, maka harga pasaran hasil yang akan dijual sudah tentu akan meningkat.  Bagi menambahkan lagi daya saing produk yang dihasilkan, proses tambah nilai dalam aspek pemprosesan, penggredan, pembungkusan dan pemasaran perlu juga diberikan keutamaan.






2.2 POTENSI BIDANG PERTANIAN SEBAGAI PERNIAGAAN YANG MENGUNTUNGKAN
Transformasi Ladang
Saiz tanah yang tidak ekonomik menyebabkan produktiviti dan kos pengeluaran yang tinggi. Program untuk memperolehi faedah berskala seperti projek kelompok, pemuliharaan tanah terbiar secara estet dan berkelompok, Taman Kekal Pengeluaran Makanan dan Projek 10 Tan Padi telah pun dilaksanakan. Dalam skim-skim ini, Amalan Pertanian Baik ( Good Agriculture Practices ) digalakkan supaya keluaran pertanian yang dihasilkan adalah berkualiti dan selamat dimakan. Program Plantation Integration Areas ( TAC ) juga dilaksanakan bagi mengoptimumkan penggunaan kawasan perladangan bagi menjanakan hasil sampingan dengan ternakan lembu.
Transformasi Tenaga Buruh Kepada Penggunaan Mekanisasi, Otomasi dan Teknologi
Malaysia meningkatkan tahap dan proses pengeluaran daripada yang bergantung berat kepada tenaga buruh kepada berintensifkan modal, teknologi dan berasaskan ilmu pengetahuan. Program pemindahan teknologi dan cara tanaman yang baru bagi meningkatkan produktiviti telah dilaksanakan. Ini termasuk program inkubator dan belia tani bagi melahirkan usahawan tani, program fertigasi tanaman pertanian, dan sistem ternakan ayam secara tertutup ( closed house system ). Di dalam pembangunan perikanan pula, usaha bagi meningkatkan tahap teknologi dilaksanakan melalui program akuakultur secara nukleus, penternakan ikan secara terbuka dan moden bagi mengurangkan kehilangan hasil akibat pencemaran yang terbuka.
Pengurusan Ladang Yang Moden
Program latihan dan kemudahan akan dipertingkatkan bagi memastikan peladang dibekalkan dengan kemahiran teknikal dan teknologi bagi meningkatkan produktiviti manakala pakar-pakar dan pekerja yang terlibat dalam aktiviti bimbingan dan latihan dilengkapkan dengan pengetahuan dan kepakaran bagi membantu masyarakat tani.
Untuk mencapai tujuan ini, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sedang berusaha meningkatkan khidmat pengembangan dan khidmat nasihat teknikal. Inkubator-inkubator bagi memberi latihan tambahan juga telah dibina untuk memberi latihan kepada golongan sasar di ladang sebenar.
Mempelbagaikan Pulangan Pelaburan
Masalah pulangan terhadap pelaburan yang rendah dan lambat dapat diatasi dengan memberi tumpuan kepada aktiviti integrasi tanaman dan ternakan, tanaman saringan, tanaman campuran dan juga marinovasi. Aktiviti pemprosean hiliran juga merupakan satu usaha untuk mempelbagaikan aktiviti ekonomi masyarakat tani dan menambahkan pendapatan mereka dalam mengeluarkan produk yang diproses yang mempunyai nilai tambah yang tinggi.
Insentif Untuk Projek Pengeluaran Makanan
Kerajaan juga menyediakan insentif istimewa bagi projek pengeluaran makanan seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967. Di bawah insentif ini, syarikat-syarikat yang mengusaha atau melabur dalam projek pengeluaran makanan layak mendapatkan insentif khas selain daripada insentif-insentif lain seperti taraf perintis, insentif untuk menggalakkan eksport dan sebagainya.
Mengeluarkan Produk Yang Bermutu Tinggi
Bidang pertanian juga berpontensi mengeluarkan produk yang bermutu tinggi untuk pasaran tempatan juga meneroka pasaran antarabangsa, maka dengan itu  tindakan perlu diambil untuk memenuhi permintaan pasaran terhadap makanan yang selamat dan berkualiti. Ini termasuk tindakan untuk menepati piawaian-piawaian antarabangsa serta pelabelan, penggredan dan pembungkusan yang boleh diterima di pasaran antarabangsa. Beberapa program jaminan kualiti hasil pengeluaran ladang dan pemprosesan yang sedang dilaksanakan seperti Skim Akreditasi Ladang Malaysia ( SALM ) dan program jaminan kualiti hasil makanan iaitu Skim Organik Malaysia ( SOM) oleh Jabatan Pertanian serta Quality Assurance System ( QAS ) oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia ( MARDI ).
2.3 CABARAN ATAU HALANGAN BIDANG PERNIAGAAN BERASASKAN
PERTANIAN
Kekurangan Maklumat Pasaran
Kos dan margin pemasaran yang tinggi boleh dikurangkan untuk mengurangkan risiko pemasaran. Malangnya, terdapat kekurangan maklumat yang komprehensif dan lengkap pada hampir semua peringkat pemasaran. Ramai petani tidak mendapat maklumat yang terkini mengenai harga dan pasaran. Maklumat yang berkaitan dengan lebihan pasaran dan stok jangka pendek dan panjang juga ternyata kurang.
Cara penyampaian kepada maklumat ini juga dipengaruhi oleh tahap pendidikan dan pengetahuan untuk menyampaikan maklumat tersebut kepada petani. Kekurangan pengetahuanmenyebabkan petani tidak dapat menggunakan maklumat sedia ada sebaik mungkin dan mengambil peluang-peluang ekonomi yang wujud dalam pasaran.
Kekurangan Infrastruktur Pemasaran
Kekurangan infrastruktur terutama sekali di tempat-tempat terpencil juga membawa kepada ketidakcekapan pemasaran. Persaingan pemasaran boleh dipertingkatkan sekiranya lebih banyak pusat penyimpanan, perniagaan dan pemprosesan ditubuhkan untuk menampung pengeluaran yang berlebihan
Kurangnya Keluasan Tanah
Sektor pertanian juga menghadapi masalah antaranya yang  berkaitan dengan kurangnya keluasan tanah yang subur untuk tanaman akibat dilanda oleh proses perbandaran dan kemajuan industri. Dua pembolehubah ekonomi yang dikaitkan dengan ketidaksimbangan sektor pertanian adalah bekalan tanah pertanian yang terus berkurangan dan tekanan penduduk yang juga kian bertambah. Kekurangan tanah pertanian turut mempunyai kesan langsung kepada kejatuhan jumlah output pertanian.



Masalah Modal
Turut dikesan sebagai salah satu cabaran dan halangan ini adalah kerana modal merupakan salah satu input penting di dalam apa jua kegiatan ekonomi. Begitu juga dengan aktiviti pertanian, modal memang sangat diperlukan bagi menanggung kos-kos pengeluaran. Pengusaha pertanian menghadapi halangan modal dari segi pelaburan untuk menggunakan semula modal dalam aktiviti pertanian itu sendiri. Kebanyakan pengusaha mengalami kekangan kewangan untuk membeli alatan pertanian dan perkakas-perkakas lain yang diperlukan. Antara yang menyebabkan masalah dalam kekurangan modal ini ialah kekurangan kemudahan kredit dan input. Pengeluaran pertanian dapat dtingkatkan sekiranya wujud kemudahan kredit dan penggunaan input pertanian yang dirancang dengan baik dari segi penghantaran dan penggunaannya.
Kekurangan Dalam Aspek-aspek Lain
Dalam Laman Web Rasmi Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia menyatakan beberapa cabaran lain yang dihadapi bagi bidang perniagaan ini antaranya seperti ketiadaan teknologi terkini serta kepakaran sokongan didalam bidang pertanian, kekurangan pekerja dan kekurangan ilmu pengetahuan untuk meningkatkan daya pengeluaran pertanian. Kurangnya pendedahan terhadap sektor pertanian kepada golongan belia juga menjadikan kurangnya minat dan penglibatan mereka kepada pertanian. Golongan belia yang tidak mahu menceburi pertanian juga merasakan tiada sokongan dan bantuan yang diberikan oleh pihak berwajib untuk menjayakan pertanian. Di samping itu, kekurangan sumber kewangan, tanah, peralatan pertanian dan maklumat aktiviti pertanian juga menyumbang kepada kurangnya penglibatan belia dalam pertanian.




2.4 SOKONGAN DAN BANTUAN KERAJAAN KEPADA PERNIAGAAN BERASASKAN PERTANIAN
Sektor pertanian merupakan nadi terpenting dalam membangunkan ekonomi negara. Pelbagai sokongan dan bantuan telah diberikan oleh pihak kerajaan kepada perniagaan yang berasaskan pertanian. Hal ini berlaku kerana pihak kerajaan sedar bahawa para pengusaha amat memerlukan sokongan dan bantuan dari pihaknya dan tiada sesiapa lagi yang mampu membantu para pengusaha ini.
Organisasi awam seperti MARA, MARDI, FELDA dan FELCRA sering memberi bantuan dengan memberikan pinjaman, mengadakan pelbagai jenis kursus yang bermanfaat kepada pengusaha dan sebagainya. Dalam memajukan sektor pertanian, kerajaan telah melakukan banyak perubahan daripada aspek proses dan keperluan jentera. Dengan bantuan agensi kerajaan seperti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia atau MARDI, kita telah berjaya menghasilkan pelbagai variasi, klon dan baka tanaman baru dengan bantuan Teknologi Maklumat yang terkini. Bantuan-bantuan seperti ini sangat dihargai oleh para pengusaha kerana dapat menaikkan lagi mutu, kualiti dan juga kuantiti perniagaan mereka.
Peranan terpenting ialah peranan yang dimainkan oleh pihak kerajaan sendiri. Kerajaan hendaklah mempunyai polisi yang jelas dengan menggubal dasar pertanian negara. Dasar tersebut yang memberikan tumpuan khusus terhadap usaha membangunkan potensi pertanian hendaklah mendapat suntikan daripada dasar Tanah Negara yang lebih kondusif ke arah memajukan sektor pertanian. Langkah tersebut amatlah mustahak agar tanah-tanah milik kerajaan negeri dan swasta dapat dibangunkan untuk projek-projek pertanian berskala besar. Penjenamaan semula Kementerian Pertanian dengan imej baru, iaitu Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menunjukkan bahawa kerajaan begitu komited untuk memajukan sektor pertanian.
Bagi memulihkan persepsi rakyat terutamanya generasi muda terhadap pertanian, kerajaan telah menyenaraikan banyak intensif dan kemudahan bagi mendorong mereka menyertai sektor pertanian ini. Pelbagai program pertanian yang bernafas baru dan berinovasi khusus untuk menambahkan produktiviti serta pendapatan petani di Malaysia telah diperkenalkan. Antaranya ialah :-
Menggiatkan Amalan Pertanian Baik ( APB )
Kerajaan menggalakkan usahawan, petani dan pekebun kecil agar dapat mengoptimumkan amalan agronomi yang baru, pengurusan ladang secara moden, penggunaan jentera baru dan teknologi terkini serta yang dikenali sebagai Amalan Pertanian Baik ( APB ). APB merupakan satu pendekatan dalam sistem pengembangan pertanian Jabatan Pertanian Malaysia yang bertujuan untuk memastikan pengeluaran hasil pertanian berkualiti dan selamat dimakan.
APB merangkumi pengurusan ladang yang lebih mesra kepada alam sekitar. APB juga bertindak memastikan amalan-amalan yang dilaksanakan oleh pengusaha ladang semasa proses pengeluaran dan pengendalian hasil bagi ladang adalah berkualiti, produk yang dikeluarkan selamat dimakan dan tidak menimbulkan risiko kepada alam sekitar dan juga pekerja ladang.
Dasar Agro Makanan Negara ( DAN )
Kabinet Malaysia juga telah meluluskan Dasar Agro Makanan Negara ( DAN ) pada 28 September 2011, yang akan dijalankan selama 10 tahun ( 2011-2020 ). DAN dibentuk untuk menggantikan Dasar Pertanian Negara.
Antara bidang keutamaan DAN adalah untuk mengembangkan industri ternakan, memodenkan industri perikanan, mengukuhkan industri padi dan beras, mempromosi agro pelancongan, meningkatkan industri asas tani, memacu pertumbuhan industri bernilai tinggi dan memperkukuhkan industri sayur-sayuran, buah-buahan dan kelapa.
Pameran Pertanian
Beberapa pameran pertanian seperti Pameran Pertanian dan Agro Pelancongan ( MAHA ) anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani diadakan dua tahun sekali bertujuan untuk mempromosi produk-produk pertanian yang diusahakan di Malaysia kepada masyarakat. MAHA juga memaparkan kejayaan sektor pertanian dan industri asas tani serta ternakan dari dalam dan luar negara daripada aspek teknologi dan inovasi. MAHA juga dijadikan platform untuk mendedahkan belia kepada bidang pertanian di samping memperkenalkan Malaysia sebagai negara pertanian dan industri asas tani untuk pelabur asing dan persendirian.
Penubuhan Pusat Transformasi Luar Bandar atau RTC
Ini merupakan kaedah pemasaran moden di mana RTC ini bertindak sebagai sebuah pusat integrasi perkhidmatan meliputi pengumpulan, pemprosesan dan pengedaran hasil pengeluaran pertanian tempatan. RTC jug memainkan peranan sebagai pusat yang menghubungkan pengeluar dengan pengguna.
Peranan Institusi-institusi Pengajian
Selain itu, selaras dengan keutamaan kerajaan mempertingkatkan potensi terhadap sektor pertanian dan industri asas tani, institut-institut pengaiian tinggi di negara perlu mengkaji semula pengajian dan kurikulum yang disediakan pada masa ini supaya dapat melahirkan graduan yang sesuai selaras dengan kehendak bidang pertanian. Dalam hubungan ini, dicadangkan supaya pihak universiti-universiti meneliti semula pengajian dalam bidang pertanian yang disediakan supaya selari dengan permintaan pihak swasta dan organisasi awam. Usaha juga perlu dipertingkatkan untuk menarik minat golongan muda untuk menceburi bidang pertanian sebagaimana mereka berminat menyertai sektor pembuatan dan perkhidmatan.
Ini termasuk mendedahkan golongan muda kepada peluang-peluang pekerjaan dan perniagaan sebagai kerjaya yang berpontesi untuk memberi keuntungan kepada mereka. Program Tunas Mekar perlu diteliti untuk dilaksanakan dalam sektor pertanian secara besar-besaran. Oleh yang demikian, dengan cara ini dapat juga meningkatkan potensi bidang pertanian sebagai  perniagaan yang menguntungkan kepada mereka.
Negara kita Malaysia mempunyai tanah yang subur, bebas daripada bencana alam atau keadaan huru-hara yang boleh memusnahkan sebarang kegiatan ekonomi. Melalui strategi-strategi yang telah disusun oleh kerajaan demi untuk membantu masyarakat tani di Malaysia, “ Pertanian adalah perniagaan “ sudah pasti akan dapat dilaksanakan dengan kerjasama semua pihak.

KESIMPULAN
Justeru, perniagaan yang berasaskan sektor pertanian mempunyai asas yang
kukuh dan potensi yang baik serta prospek yang cerah untuk dimajukan. Kita harus menggunakan segala kepakaran yang ada untuk memajukan bidang ini demi kestabilan ekonomi negara. Rakyat Malaysia pertu berfikiran terbuka dan positif terhadap potensi sektor ini.
Sektor pertanian dilihat sebagai sektor yang menjanjikan  pulangan lumayan di samping usaha untuk merapatkan  jurang pendapatan antara penduduk desa dan bandar. Adalah menjadi impian kerajaan bahawa menjelang tahun 2020 , negara kita bukan sahaja maju dalam sektor industri di bandar malahan maju dalam industri pertanian di desa. Semua agensi berkaitan dengan petani, penternak dan nelayan perlu melipatgandakan usaha bagi membuktikan bahawa pertanian bukannya sektor luar bandar yang sebelum ini sering dikaitkan dengan kemiskinan. Industri berasaskan pertanian sememangnya mempunyai potensi yang cerah di Malaysia. Peningkatan tambah nilai hasil pertanian dan perluasan asas sektor pertanian sudah pasti akan membuka lembaran baru dalam pembangunan ekonomi negara.
Namun begitu, tahap pencapaian yang memuaskan dalam industri tersebut perlu dirancang dengan teliti, khususnya dalam menyediakan kepakaran, khidmat sokongan, teknologi, modal dan sebagainya. sektor pertanian telah dapat mencapai beberapa kejayaan dari segi mengurangkan peratus kemiskinan melalui pembukaan tanah baru dan bantuan-bantuan lain. Tidak banyak negara yang mempunyai kelebihan seperti Malaysia. Negara mempunyai pelbagai sumber tanaman, pertanian, perikanan, penternakan, pelancongan, malah modal insan yang jika diuruskan dengan bijak, baik, dan terancang ianya dapat berdaya saing dengan sektor lain yang menjanjikan pendapatan lumayan yang sudah pasti menguntungkan negara.
Malaysia sebuah negara yang bertuah kerana memiliki pelbagai sumber asli pertanian yang berupaya meningkatkan pertumbuhan pesat ekonomi negara. Kita juga wajar menjadikan kejayaan negara-negara maju khususnya Jepun yang telah berjaya menguasai sektor perindustrian tetapi dalam masa yang sama terus membangunkan bidang pertanian untuk kesejahteraan hidup rakyatnya.
RUJUKAN
https://ms.wikipedia.org/wiki/Institut_Penyelidikan_dan_Kemajuan_Pertanian_
Malaysia
Laporan Ekonomi 2012/2013. Sumber: Kementerian Kewangan Malaysia
Malaysia. Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri. (2006). IMP3:
Pelan Induk Perindustrian Ketiga 2006-2020; Malaysia ke arah daya saing global. Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
Norain Mod Asri, Md. Zyadi Md. Tahir dan Wook Endut (2010). Komposisi
perbelanjaan kerajaan dan pertumbuhan ekonomi: kajian empirikal di Malaysia. Jurnal Kemanusiaan ISSN 1675-1930.
Syed Mahadzir Syed Ibrahim. (2011). Potensi Dan Cabaran Industri Pertanian
Negara





















No comments:

Post a Comment