Asas keusahawanan merupakan satu topik dimana menerapkan nilai-nilai usahawan yang berjaya
Sunday, 27 November 2016
FRANCAIS
SEJARAH PEMBANGUNAN INDUSTRI FRANCAIS PADA PERINGKAT GLOBAL DAN MALAYSIA
Francais adalah satu sistem perniagaan bermula di Eropah dan berkembang pesat di Amerika Syarikat 100 tahun yang lalu. Perkataan Francais adalah berasal daripada perkataan Perancis, Franco yang bermaksud kebebasan. Pada prinsipnya, sistem francais merupakan satu hubungan perniagaan secara kontrak di antara dua pihak francaisor (pemilik francais) dan francaisi (pihak yang bertanggungjawab mengurus outlet) dalam jangka masa yang ditentukan. Francaisor bertanggungjawab memberi latihan kepada pihak francaisi dan segala proses bagi memastikan sistem operasi berjalan dengan lancar. McCormick Harvesting Machine Company dan Singer Sewing Machine Company telah memulakan sistem francais sekitar tahun 1950-an. Pada tahun 1995, makanan segera MacDonald oleh Ray Kroc telah berjaya memulakan sistem francais dimana hasil kajian lebih 96 peratus rakyat Amerika telah mengunjungi restoran tersebut sehinggalah ke hari ini restoran tersebut masih tetap menjadi tumpuan rakyat di seluruh dunia. Selain MacDonald, makanan segera seperti KFC, Burger King, Subway, Pizza Hut dan lain-lain turut mengikut sistem francais. Meskipun perniagaan francais seringkali dikaitkan dengan makanan segera namun, hampir dua per tiga daripada jualan francais sebenar daripada jualan bukan berasas makanan segera. Francais juga merangkumi perniagaan seperti kesihatan, perkhidmatan dan produk kecantikan.
Di Malaysia, sistem francais dimulakan kira-kira 60 tahun yang dahulu bermula apabila syarikat Singer memperkenalkan produk-produk barangan rumah. Pembangunan Francais yang diperkenalkan pada tahun 1992 dibawah seliaan Unit Pelaksanaan dan Penyelarasan Jabatan Perdana Menteri juga menjadi permulaan kepada pengenalan terhadap sistem francais di Malaysia. Malaysia merupakan antara paling awal di kalangan negara ASEAN yang menceburi sektor francais, dengan sistem kawal selia yang kukuh, persatuan yang mantap dan kementerian yang mengawal pertumbuhan industri tersebut. Di Malaysia terdapat 1,123 francais yang berdaftar dibawah MFA iaitu merupakan persatuan francais Malaysia yang ditubuhkan pada 1994 dan berperanan untuk menguatkuasa etika amalan perniagaan secara profesional dan turut menyediakan penyelidikan dan pembangunan (R&D), menyelaras dan melaksana program latihan seminar.
___________________________________________________________________
1)Sejarah perniagaan francais- http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0226&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_05.htm#ixzz3ltc5kVWC
2)MFA- http://d1001929.netmyne.net/web/index.php/en/component/content/article/134
KEPENTINGAN INDUSTRI FRANCAIS TERHADAP PEMBANGUNAN EKONOMI DAN SOSIAL
Sejak beberapa dekat ini bidang keusahawanan menunjukkan peningkatan yang positif bagi meningkatkan ekonomi negara. Tidak kira perniagaan berskala besar mahupun kecil, rakyat Malaysia telah mula berjinak dalam bidang perniagaan bagi meningkatkan taraf hidup mereka. Industri francais merupakan industri yang mula membanjiri sistem pasaran perniagaan Malaysia. Kepentingan industri francais terhadap pembangunan ekonomi dan sosial negara amatlah penting kerana bidang ini memberikan sumbangan yang besar kepada pendapatan negara termasuklah dalam bidang sosial. Menurut Rosli Mahmood et. al (2008), usahawan bukan sahaja mencipta perniagaan baru malah turut meningkatkan peluang pekerjaan disamping dapat meningkatkan taraf hidup kehidupan, tanggungjawab sosial dan pengukuhan industri. Hal ini dapat dilihat apabila Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan sumbangan industri francais dari dalam dan luar negara kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) disasarkan mencecah RM23.6 billion tahun 2013 berbanding RM22.5 billion pada tahun 2012. Peningkatan pendapatan Negara ini sekaligus membantu masyarakat dari segi taraf kehidupan, pengukuhan industri dan tanggungjawab sosial. Peningkatan segi ekonomi dapat membantu negara dalam mengukuhkan hubungan perjanjian dan membuka peluang kepada pelabur-pelabur luar yang berminat untuk melabur terhadap projek-projek mega yang dijalankan di Malaysia kerana dengan adanya sistem francais sekaligus mempromosi negara Malaysia dimata dunia. Industri francais juga membuka peluang pekerjaan kepada golongan belia di bandar mahupun luar bandar yang membuka industri francais secara perusahaan kecil dan sederhana. Dengan adanya peluang pekerjaan yang besar dapat membantu negara mengurangi tahap kemiskinan tegar. Kemiskinan tegar telah hampir mencapai sifar apabila kadar kemiskinan berkurangan daripada paras 3.8 peratus pada tahun 2009 kepada 0.6 peratus pada tahun 2014. Selain itu dari segi ekonomi dapat meningkatkan kadar nilai mata wang negara dengan adanya kerjasama antara francaisor dari luar negara. Aliran keluar masuk nilai mata wang Malaysia seperti pelaburan di bursa saham menjadikan nilai mata wang akan meningkat selaras dengan peningkatan ekonomi negara dan mengukuhkan lagi struktur ekonomi dan pentadbiran negara pada masa hadapan. Di samping itu, kepentingan francais terhadap pembangunan sosial memberikan impak yang positif terhadap negara. Dengan wujudnya peluang pekerjaan dapat membantu belia mahupun graduan yang menganggur untuk mencari pekerjaan dan memberi mereka peluang bagi meningkatkan taraf kehidupan dengan adanya pekerjaan. Masalah sosial lain juga dapat dikurangkan seperti mengurangkan kadar jenayah seperti ragut dan rompak yang semakin membimbangkan. Peningkatan taraf hidup yang meningkat saban hari menyebabkan ramai golongan belia mahupun dewasa tertekan dan terjebak dengan najis dadah untuk mengurangi beban yang mereka tanggung. Hal ini akan terjadinya masalah jenayah yang akan menggugat ketenteraman awam. Dengan adanya pengenalan industri francais ini dapat membantu golongan yang mahu meningkatkan taraf hidup mereka untuk berjinak-jinak dalam industri perniagaan. Seperti kita sedia maklum industri francais tidak semestinya tergolong dalam perniagaan yang berskala besar tetapi juga merangkumi berskala kecil. Golongan belia mahupun dewasa dari luar bandar juga dapat memajukan taraf hidup mereka. Dengan memperkenalkan produk-produk yang akan dikomersialkan, ini dapat juga membantu untuk mempromosikan industri pelancongan yang terdapat di negara ini yang kaya dengan keindahan dan kekayaan hasil hutan dan kepulauannya.
___________________________________________________________________
3) R. Mohamad Zulkifli & Mohd Rosli 2013, Enterpreneurial Orientation and business Success of Malay Enterpreneurs: Religiosity as Moderator. International Journal of Humanities and Social Science Vol. 3 No. 10 (special issue- may 2013)
4)KDNK 2016- http://www.astroawani.com/berita-malaysia/kdnk-2016-dijangka-berkembang-empat-hingga-lima-peratus-najib-77643
TAHAP PEMBANGUNAN INDUSTRI FRANCAIS DI MALAYSIA
Tahap pembangunan industri francais di Malaysia menunjukkan perubahan yang positif selari dengan pembangunan negara pada masa kini. Hal ini dapat dilhat apabila sebanyak 1992 rangkaian outlet perniagaan francais tempatan diluar negara antaranya Marry Brown dan Secret Recipe. Menurut Setiausaha Agung Persatuan Francais Malaysia (MFA), Muhammad Shukri Salleh melalui Sinar Harian 2014, pihak kerajaan banyak mengambil pendekatan bagi memastikan industri francais berada di tahap yang membanggakan. Pelbagai jenis usaha yang dilakukan oleh pihak kerajaan seperti mewujudkan pelbagai kementerian dan tidak kira dalam bidang swasta mahupun awam bagi memastikan kelangsungsan industri francais dapat membantu dalam menjana pendapatan rakyat. Antaranya ialah dengan penubuhan Pelan Induk Pembangunan Francais Nasional ( PIPFN) 2012-2016 untuk menentukan semua lapisan masyarakat peniaga berskala besar mahupun kecil untuk menceburi bidang francais. Pelan ini juga bertujuan untuk membantu golongan peniaga luar bandar yang hanya memfokuskan kepada bidang makanan, kesihatan yang konvensional sederhana kepada francais antarabangsa seperti penyelidikan Research and Development (R&D) untuk sesuatu produk bagi pasaran antarabangsa. Dengan adanya penyelidikan terbaru contohnya penyelidikan seperti kebaikan minyak kelapa dara terhadap kesihatan telah menyebabkan ramai pihak membantu untuk mempertengahkan penyelidikan ini di peringkat global kerana akan memberikan pulangan yang lumayan terhadap peniaga mahupun negara. Antara golongan kumpulan sasaran termasuklah perusahaan kecil dan sederhana (PKS), golongan khas (OKU) dan ramai lagi. Semasa pembentangan bajet 2015, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan peruntukan RM20 juta dibawah Penambahan Skim Pembangunan Francais (EFDP) melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan MFA. EFDP adalah penambahan Program Pembangunan Francais (FDP), yang diasaskan untuk memupuk dan menggalakkan pertumbuhan eksport francais ke luar negara. Terdapat 2 juta setahun yang diperuntukkan dibawah EFDP untuk membantu perniagaan francais diluar negara. Dengan adanya peruntukan yang berikan oleh pihak kerajaan dapat membantu para peniaga francais untuk mengembangkan perniagaan mereka ke luar negara agar dapat bersaing terhadap francaisor-francaisor lain.
Media massa merupakan jalinan perhubungan saluran tentang kepentingan dan kebaikan francais terhadap bakal peniaga yang mahu menceburi bidang perniagaan yang bersifat francais. Saluran media massa yang betul dapat membantu pihak kerajaan untuk memberikan saluran maklumat tentang industri francais di Malaysia. Media massa terutamanya internet, televisyen dan radio amatlah penting terhadap usahawan yang baru berjinak dalam bidang perniagaan mengetahui maklumat yang mereka ingini. Dengan adanya pendedahan terhadap media massa tentang industri francais dapat menarik minat para peniaga untuk memberanikan diri mereka untuk keluar dari kelompok zon selamat kepada kelompok yang lebih professional dan lebih mencabar bagi meningkatkan perniagaan dan taraf hidup mereka. Kini saluran maklumat semuanya di hujung jari dengan adanya media massa semua maklumat perniagaan dapat diperolehi dan ai memudahkan para peniaga untuk mengembangkan dan mencari idea bagi mengkomersialkan lagi produk mereka pada masa hadapan.
Selain itu juga, kerajaan melalui pelbagai agensi telah menganjurkan pelbagai program setiap tahun dengan membantu mempromosi jenama tempatan di pasaran antarabangsa. Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) juga diwujudkan untuk menyediakan rantaian nilai tambahan sebagai jentera mempromosikan perniagaan francais Malaysia. Bantuan seperti ini yang dilakukan oleh pihak kerajaan sekaligus membantu para usahawan untuk lebih kreatif, berdaya saing dan mempunyai perhubungan kerjasama antara usahawan luar negara bagi meningkatkan produktiviti produk mereka. Kepelbagaian strategi dan program yang dijalankan oleh pihak kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat francais yang terkemuka di rantau Asia Tenggara dan Timur Tengah menjelang tahun 2020.
Permintaan yang tinggi oleh negara India, Myanmar, Chile dan India dalam industri francais membolehkan para usahawan francais di Malaysia mengembangkan perniagaan mereka di pasaran antarabangsa. Permintaan yang tinggi terhadap industri kecantikan, kain dan kesihatan membolehkan para usahawan mengambil peluang keemasan dengan mengadakan perjanjian perniagaan yang akan menguntungkan banyak pihak. Negara Myanmar contohnya kini merupakan negara yang majoriti akan dilawati oleh para peniaga untuk membeli barangan yang terkini untuk dijual semula di Malaysia. Para peniaga di Malaysia akan pergi ke Myanmar untuk mendapatkan bekalan barangan yang terkini kerana barangan di sana jauh lebih murah jika dibandingkan negara-negara Asean lain. Antara barangan yang mendapat permintaan pelanggan dari Malaysia adalah tudung dan jubah. Selain memberikan harga yang murah, barangan mereka juga berkualiti tinggi. Dengan adanya permintaan kerjasama dari negara luar seperti ini akan membuka peluang keemasan terhadap para francaisor untuk mendapat tempat membuka perniagaan di sana.
___________________________________________________________________.
5) Industri Francais tunjuk perkembangan positif http://www.sinarharian.com.my/bisnes/industri-francais-tunjuk-perkembangan-positif-1.304683
SISTEM SOKONGAN OLEH PIHAK KERAJAAN DAN SWASTA INDUSTRI FRANCAIS DI MALAYSIA
Sistem sokongan yang pertama yang dijalankan oleh pihak kerajaan seharusnya bermula dengan sistem latihan. Pihak kerajaan haruslah membantu pihak francaisor untuk membantu francaisi dalam mengendalikan sistem pentadbiran yang teratur bagi membolehkan urusan perniagaan yang dijalankan berjalan dengan lancar dan mendapat pulangan keuntungan yang lumayan. Tanpa latihan yang efisien dan sistematik dan pendedahan tentang dunia perniagaan tidak akan membuat seseorang peniaga berjaya untuk mengendalikan sesebuah perniagaan. Di antara program yang dijalankan adalah latihan softskil, program latihan dan kesedaran merangkumi perkongsian ilmu. Justeru itu pendedahan dan latihan yang penting kepada francaisi amatlah penting untuk mereka sama-sama berjaya menjalankan perniagaan yang diharap memberi pulangan yang lumayan pada masa akan datang.
Sokongan yang kedua ialah dengan membantu para francaisi dan francaisor bagi pinjaman kewangan untuk mereka mengembangkan perniagaan outlet makanan mahupun perniagaan berasaskan kesihatan, kecantikan mahupun perkidmatan. Perbandanan Nasional Berhad (PNS) merupakan salah satu agensi di bawah KPDNKK untuk membantu dalam skim pinjaman para usahawan yang terlibat dalam industri francais ini. PNS juga terlibat dalam memberi perkhidmatan nasihat dalam kewangan serta seperti Skim Pembiayaan Francaisi dan Skim Pembiyaan Eksekutif dengan jumlah pinjaman sehingga RM1 juta. Penubuhan perbadanan ini menunjukkan bahawa kerajaan komited dalam membantu para usahawan untuk mengembangkan perniagaan mereka disamping meningkatkan ekonomi dan kewangan negara. Selain PNS, SME Bank, Majlis Amanah Rakyat (MARA),Tabung Ekonomi Usaha Niaga (TEKUN) dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) juga membantu dalam urusan bantuan kewangan.
Sokongan terakhir banyak meliputi pendedahan seperti mengadakan kempen dan forum tentang kebaikan yang akan diperolehi jika berkecimpung dalam perniagaan berbentuk francais. Pihak swasta mahupun kerajaan haruslah banyak membantu para pensyarah tempatan mahupun swasta dalam mengembangkan pengetahuan tentang francais kepada bakal graduan bagi memberikan pendedahan awal terhadap bidang perniagaan supaya para graduan tidak terlalu berharap kepada bidang perkhidmatan semata-mata tetapi menceburi bidang perniagaan dan keluar dari zon selesa mereka. Dengan adanya sokongan dan bantuan dari pihak berwajib, maka industri francais akan mudah difahami oleh semua golongan termasuklah golongan belia yang baru berjinak dalam perniagaan. Selain itu juga, sokongan dari badan NGO dan golongan media seperti golongan artis yang sudah berkecimpung dalam bidang perniagaan francais juga dapat membantu bagi menyebarkan maklumat tentang kebaikan perniagaan ini. Dengan adanya golongan seperti ini akan lebih menarik minat para peniaga untuk memulakan perniagaan. Kita sedia maklum golongan artis banyak mempengaruhi corak kehidupan masyarakat, justeru itu bantuan dari badan NGO untuk lebih mempromosikan perniagaan ini melalui golongan artis amatlah membantu lagi pihak kerajaan bagi lebih memberi pendedahan kerana golongan ini lebih dekat dihati masyarakat.
CABARAN/HALANGAN YANG DIHADAPI OLEH FRANCAISI DAN FRANCAISOR DI MALAYSIA
Terdapat banyak cabaran dan halangan yang terpaksa dihadap oleh francaisi dan francaisor di Malaysia. Antara cabaran adalah sikap negatif francaisor mahupun francaisi dalam bidang perniagaan. Menurut Buerah Tunggak, Hussin Salamon & Baharin Abu (2011), usahawan yang memiliki sikap-sikap negatif seperti ketidakjujuran, menipu, lewat atau tidak membayar balik pinjaman yang diterima, tidak mahu meningkatkan ilmu pengetahuan dan kurang mengamalkan sikap disiplin dalam perniagaan biasanya kurang berjaya. Sikap tidak berdisiplin dalam menjalankan perniagaan akan memakan diri sendiri. Sebagai seorang peniaga seharusnya francaisor mahupun francaisi lebih komited dalam menjalankan perniagaan mereka dengan membuang sifat sambil lewa dalam perniagaan. Selain itu juga sikap francaisor terhadap francaisi seperti tidak member francaisi kebebasan dalam membuat keputusan dan terpaksa mengikut semua arahan oleh pihak francaisor akan menyebabkan francaisi merasa tidak selesa dan hal ini akan menyebabkan terjadinya pertelingkahan dan akhirnya menyebabkan pihak francaisi menarik diri dalam menjalin kerjasama.
Selain itu juga, kurangnya pendedahan ilmu pengurusan oleh pihak francaisor terhadap pihak francaisi menyebabkan berlakunya kegagalan dalam perniagaan. Seharusnya pihak francaisor memberikan sepenuhnya ilmu terhadap francaisi di bawah seliaan mereka, menerangkan selok belok ilmu perniagaan dan tidak lokek untuk berkongsi apa-apa rahsia kejayaan mereka kerana dengan adanya ilmu pengurusan yang strategik akan meningkatkan jualan. Sebagai contohnya, hasil daripada kajian yang dilakukan oleh Azmi Abdul Manaf, Nik Hairi Omar dan Lee Kuan Yee (2012) terdapat empat faktor yang dianggap kritikal kepada kejayaan usahawan wanita mahupun lelaki iaitu kemahiran perancangan, keadaan ekonomi, pengalaman industri dan pengalaman pengurusan. Hal ini jelas membuktikan bahawa ilmu pengurusan penting bagi menjamin kejayaan perniagaan. Selain daripada aspek yang berkaitan langsung terhadap sistem dan francaisor, francaisi juga haruslah mempunyai inisiatif sendiri untuk menjalankan kajian potensi daya maju produk atau perkhidmatan yang mereka ingin ceburi. Sesuatu produk atau perkhidmatan yang berjaya di sesuatu negara tidak semestinya akan maju seperti yang diingini. Maka para francaisor haruslah lebih komited dalam memulakan perniagaan bagi memastikan kejayaan perniagaan mereka berjaya.
Faktor pemilihan tempat bagi outlet juga amat penting. Pemilihan tempat outlet di kawasan yang padat penduduk serta menjadi tumpuan para pembeli merupakan cabaran yang tidak seharusnya di ambil ringan. Dengan pemilihan tempat outlet yang tepat akan mencapai sasaran untuk mendapat pulangan yang lumayan kerana terdapat permintaan yang tinggi daripada pelanggan. Namun, sewa bulanan yang mahal di lokasi pemilihan outlet di kawasan pusat beli belah yang eksklusif akan menjadi salah satu punca masalah kewangan yang terpaksa pihak francaisi tanggung. Justeru itu,kajian pasaran haruslah penting bagi mengenalpasti trend, gaya hidup dan cita rasa pengguna agar produk dan perkhidmatan yang akan dijual mendapat sambutan pelanggan.
Kekurangan modal dalam mengembangkan perniagaan juga merupakan halangan dan cabaran yang harus ditempuh oleh semua usahawan. Berjinak dalam bidang industri francais bermakna mereka harus mengeluarkan modal yang banyak bagi mengembangkan perniagaan mereka. Industri francais banyak memerlukan modal yang besar kerana mereka terpaksa mengikuti semua peraturan yang telah ditetapkan bagi menjadi francaisi sesuatu jenama. Memang tidak dinafikan banyak pihak tidak kira kerajaan mahupun swasta yang memberikan pinjaman terhadap usahawan yang berjinak dalam industri ini,namun sebagai seorang francaisi seharusnya mempunyai sekurang-kurangnya 30 peratus daripada kos pelaburan sebagai jaminan untuk menghadapi apa-apa kemungkinan pada masa hadapan.
__________________________________________________________________
(6) Buerah Tunggak, Hussin Salamon & Baharin Abu 2011, Keperluan Latihan dan Pendidikan Berterusan ke arah
Pembangunan Usahawan Muslim Berteraskan Nilai Islam Di Malaysia
(7) Azmi Abdul Manaf, Nik Hairi Omar dan Lee Kuan Yee (2012)
MASA HADAPAN INDUSTRI FRANCAIS DI MALAYSIA
Setelah melalui beberapa frasa dalam pengenalan industri francais di Malaysia, kini kerajaan dapat menarik nafas lega apabila industri francais kini berada dalam fasa yang boleh dikatakan mencapai pencapaian yang membanggakan. Pelbagai usaha yang telah dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terutamanya golongan usahawan terhadap industri francais. Kepadatan golongan belia yang sudah mula berjinak dalam perniagaan merupakan tindakan yang positif dan mengguntungkan banyak pihak terutamanya pihak kerajaan kerana tanggapan “makan gaji” sudah berubah kepada “be your own boss” pada masa kini. Mengubah persepsi tentang kepentingan perniagaan telah menyebabkan ramai golongan usahawan berjinak dalam perniagaan berbentuk francais kerana bagi mereka risiko kegagalan dalam perniagaan yang lebih rendah dan menjadi seorang francaisi lebih memberi pulangan yang lumayan. Tidak dinafikan banyak cabaran yang harus dilalui namun dengan adanya sokongan dari semua pihak terutamanya pihak kerajaan yang telah banyak memperuntukkan dana bagi membantu francaisor dan francaisi bagi memulakan dan mengembangkan perniagaan mereka di peringkat global.
Penekanan kepada program latihan keusahawanan yang melibatkan golongan professional untuk membantu golongan usahawan francais sangatlah berguna bagi memberi pendedahan dan membantu dalam pengurusan perniagaan mereka bagi masa hadapan. Kini, banyak golongan profesional yang banyak memberikan latihan dan cara meningkatkan perniagaan dalam francais kerana dalam industri ini tanpa latihan dan tunjuk ajar dan sistem perniagaan yang tidak sistematik akan menggagalkan seseorang francaisi untuk berjaya. Sistem pengurusan yang teratur akan membantu golongan ini untuk lebih peka terhadap pelbagai kemungkinan yang akan datang dan menjadikan mereka lebih berani, berdaya saing dan lebih kreatif. Kepelbagaian untuk mempromosikan perniagaan francais di Malaysia akan membuatkan industri ini akan lebih kukuh untuk masa depan dan tidak mustahil industri francais merupakan industri yang banyak menyumbangkan pendapatan negara pada masa akan datang.
KESIMPULAN
Kepelbagaian perniagaan di Malaysia sejak zaman sebelum merdeka lagi menyebabkan industri perniagaan meningkat saban tahun dan juga menjadi antara penyumbang dalam kestabilan ekonomi negara. Dalam konteks Islam,perniagaan dan perdagangan amatlah digalakkan oleh Nabi Muhammad s.a.w terhadap umatnya. Meskipun golongan yang banyak berjinak dalam industri perniagaan di Malaysia merupakan kaum Cina namun kini golongan muda belia bumiputra banyak berjinak dalam industri perniagaan. Hal ini merupakan perkembangan yang positif dalam mencorak perkembangan sosial dan ekonomi negara yang semakin meningkat. Hasil kajian oleh Mohd Hidayad bin Hambali (2011) mendapati kesemua faktor bantuan-bantuan kerajaan seperti kewangan dan kredit, latihan dan pembangunan, perkhidmatan nasihat dan perundingan, pemasaran dan peluang perniagaan dan sokongan infrastruktur yang disediakan oleh kerajaan dapat membantu meningkatkan kejayaan usahawan PKS bumiputera. Hal ini selari juga dengan penglibatan industri francais jika semua pihak berganding bahu dalam meningkatkan industri ini maka tidak mustahil Malaysia merupakan negara yang terkenal dengan industri francais di peringkat global sekaligus memberi banyak kebaikan pada masa akan datang.
___________________________________________________________________
(8) Mohd 2011, Faktor Bantuan Kerajaan yang Meningkatkan Kejayaan Usahawan Industri Kecil dan Sederhana Bumiputera di Sabak Bernam, Selangor, Tesis Sarjana Muda, Universiti Teknologi Malaysia Nor Hidayat Hambali
RUJUKAN
Azmi Abdul Manaf, Nik Hairi Omar dan Lee Kuan Yee (2012) Faktor Kritikal Kejayaan Usahawan Dalam Perniagaan, Universiti Kebangsaan Malaysia
Buerah Tunggak, Hussin Salamon & Baharin Abu 2011, Keperluan Latihan dan
Pendidikan Berterusan ke arah Pembangunan Usahawan Muslim Berteraskan Nilai Islam Di Malaysia
Mohd Nor Hidayat Hambali 2011, Faktor Bantuan Kerajaan yang Meningkatkan Kejayaan Usahawan Industri Kecil dan Sederhana Bumiputera di Sabak Bernam, Selangor, Tesis Sarjana Muda, Universiti Teknologi Malaysia
R. Mohamad Zulkifli & Mohd Rosli 2013, Enterpreneurial Orientation and business Success of Malay Enterpreneurs: Religiosity as Moderator. International Journal of Humanities and Social Science Vol. 3 No. 10 (special issue- may
2013)
Syadiyah Abdul Shukor dan Mohammad Noorizzudin Nooh, Penglibatan Usahawan
Wanita Muslim dalam Industri Francais di Malaysia,Universiti Sains Islam
Malaysia
INTERNET
http://www.astroawani.com/berita-malaysia/kdnk-2016-dijangka-berkembang-empat-hingga-lima-peratus-najib-77643 -diakses pada 27 Oktober 2016)
http://ww1.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20140318/ek_04/Akta-Francais-lindungi-kepentingan-usahawan -diakses pada 27 Oktober 2016)
http://www.mfa.org.my/newmfa/perniagaan-francais-semakin-popular-di-malaysia/diakses pada 28 Oktober 2016
http://www.sinarharian.com.my/bisnes/industri-francais-dijangka-sumbang-rm23-6b-1.121685 diakses pada 29 Oktober 2016
Industri Francais dijangka mencecah 23.6 Bilion http://microfinancenews948.blogspot.my/2013_01_01_archive.html diakses pada 29 Oktober 2016
Menilai francaisor dan sistem Francais http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0402&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_04.htm diakses pada 1 November 2016
Masa depan Industri Francais semakin kukuh http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0306&pub=Kosmo&sec=Varia&pg=va_01.htm diakses pada 1November 2016
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment