1.0 PENGENALAN
Pelancongan merupakan industri perkhidmatan utama yang
kian berkembang maju dan mendatangkan keuntungan besar dalam bentuk tukaran
asing serta memasyhurkan Malaysia di mata dunia. Pelancongan juga merupakan
industri penting di Malaysia. Sejak awal lagi, pihak kerajaan memandang serius
perkembangan industri ini di negara kita kerana sumbangan sektor ini yang
sangat besar terhadap pertumbuhan ekonomi negara. Di dalam pentadbiran
kerajaan, Jabatan Pelancongan telah pun mula diwujudkan di bawah Kementerian
Perdagangan Malaysia pada tahun 1959. Malah, dalam Rancangan Malaysia Kedua
tahun 1971 – 1975, sektor pelancongan merupakan antara sektor yang mendapat
penekanan khusus dengan peruntukan tertentu, dan akhirnya pada tahun 1987,
Jabatan Pelancongan dinaiktaraf kepada Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan,
diketuai oleh YB Tan Sri Dato’ Sabbaruddin Chik. (Portal Rasmi Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan
Malaysia, 2015).
Bukan
hanya di Malaysia, malah banyak negara-negara luar juga memberi penekanan
khusus terhadap industri ini, kerana industri pelancongan yang diselenggarakan
dengan baik boleh menjamin penjanaan ekonomi yang lumayan kepada negara
tersebut, terutama bagi pelancongan yang melibatkan pelancong dari luar negara.
Kemasukan para pelancong luar meningkatkan kadar tukaran asing dan pastinya
memberi manfaat kepada pertumbuhan ekonomi. Oleh itu, di peringkat global,
industri pelancongan didukung oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) / United Nation (UN) menerusi
organisasi United Nation World
Tourism Organization (UNWTO). Organisasi
peringkat global ini dianggotai oleh 157 buah negara dan berfungsi memberi
sokongan terhadap pembangunan ekonomi menerusi industri pelancongan. United Nation World Tourism
Organization, UNWTO turut menggariskan Kod Etika Pelancongan Global untuk
dipatuhi oleh setiap negara ahli.
Pelancongan menjadi
suatu bidang pelaburan bijak yang dapat memacu pertumbuhan industri-industri
berkaitan yang lain yang kesemuanya berperanan dalam pembangunan Malaysia
menuju negara maju dalam abad ini. Potensi industri pelancongan sebagai penjana
ekonomi baru negara hanya dapat direalisasikan jika usaha-usaha memajukan dan
membangunkan industri pelancongan diberi penekanan yang sewajarnya. Isu-isu
seperti pelancongan eko, alam sekitar, visa, kemudahan lapangan terbang,
kebersihan persekitaran, sistem pengangkutan dan keselamatan pelancong,
semuanya menyumbang secara positif dan negatif kepada jumlah pelancong
yang melawat Malaysia. Kejayaan industri pelancongan tidak semata-mata
bergantung kepada kempen dan promosi galakan melalui pengiklanan yang
melibatkan perbelanjaan berjuta-juta ringgit di dalam dan luar negara.
2.0 APA ITU INDUSTRI
PELANCONGAN
Pelancongan boleh didefinisikan sebagai satu kegiatan
multidimensi dan pelbagai yang menyentuh aspek kehidupan dan aktiviti ekonomi. Malah, pelancongan tidak
semuanya bertujuan untuk keseronokan atau berhibur tetapi juga merangkumi
pelancongan perniagaan, pelancongan kesihatan, pelancongan sukan dan lain-lain.
Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa industri pelancongan merupakan suatu
industri yang menawarkan kemudahan dan perkhidmatan kepada orang ramai untuk
melancong. Industri pelancongan bukan sahaja melibatkan ketibaan pelancong dari
luar, malah luar negara. Di Malaysia, industri pelancongan adalah di bawah
seliaan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dengan di sokong oleh
agensi-agensi penggalakan pelancongan yang ditubuhkan secara berperingkat
mengikut keperluan.
Sebelum industri pelancongan mendapat perhatian
kerajaan, sektor pertanian
seperti getah dan hasil bumi seperti bijih timah lebih mendominasi ekonomi
negara. Pada awal tahun 70an, kedua-dua sektor ini telah menyumbang sebanyak
45% kepada KNK negara (Badaruddin Mohammad dan Nimatul Adha Nordin, 2008).
Sungguhpun demikian, dengan didorong oleh kestabilan politik dan ekonomi yang
semakin mampan,
industri pelancongan sedikit sebanyak mula menunjukkan perkembangan yang
positif. Pada masa tersebut, kedatangan pelancongan semakin meningkat dan mula
membuka mata kerajaan agar memberikan tumpuan yang sewajarnya dengan membuat
langkah-langkah strategik untuk membaik pulih infrastruktur serta
kawasan-kawasan yang boleh menarik lebih ramai pelancong. Pada awal tahun 60an
jumlah pelancong yang memasuki Malaysia hanyalah 23,000 orang sahaja berbanding
seramai 77,000 orang pada tahun 1970. Lonjakan ini adalah dengan purata
kedatangan pelancong sebanyak 14.4% setahun (Yahya Ibrahim, 2010).
Menurut
Yahya Ibrahim (2010), dengan bantuan daripada pihak swasta, kerajaan telah
berjaya menambah lebih banyak kemudahan-kemudahan asas bagi meningkatkan
keselesaan pelancong yang datang. Ini termasuklah penyediaan bilik penginapan
atau hotel yang dibuat dengan berpandukan kepada piawaian antarabangsa. Jumlah
bilik terus meningkat secara drastik kepada 6000 buah pada tahun 1970
berbanding 1900 buah pada pertengahan tahun 60an. Malah, dengan perkembangan
positif yang ditunjukkan dalam industri pelancongan negara, ia secara tidak
langsung telah membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.
Kini
Malaysia diiktiraf pada peringkat global sebagai antara destinasi pelancongan
utama, dengan kedudukan di antara 10 teratas dari segi ketibaan pelancong dan
15 antara teratas dari segi penerimaan global. Industri pelancongan juga
merupakan penyumbang yang penting kepada ekonomi Negara. Pelancongan menjadi
suatu bidang pelaburan bijak yang dapat memacu pertumbuhan industri-industri
berkaitan yang lain yang kesemuanya berperanan sebagai pembangunan Malaysia
menuju negara maju dalam abad ini.
Malaysia
mempunyai kedudukan permulaan yang kukuh untuk melonjakkan dirinya menjadi
destinasi pelancongan yang utama. Industri pelancongan sudah sememangnya besar,
telah pun berkembang secara tekal dengan pantas untuk tempoh 10 tahun yang
lepas dan juga mempunyai kedudukan daya saing global yang kukuh. Asas yang
kukuh ini dapat dimanfaatkan untuk meningkatkan sumbangan sektor pelancongan
kepada ekonomi Negara.
3.0 TAHAP PEMBANGUNAN INDUSTRI PELANCONGAN
Pembangunan
sesuatu destinasi pelancongan adalah melalui suatu proses evolusi melainkan
destinasi yang dirancang. Umumnya, pembangunan sesuatu destinasi pelancongan
melalui empat tahap iaitu tahap penerokaan, penglibatan, pembangunan, dan tepu.
Pada tahap penerokaan alam sekitar yang cantik akan menarik sebilangan kecil
pelancong yang mengatur sendiri lawatan mereka. Kegiatan mereka tidak mengikut
mana-mana pola yang wujud kerana tidak ada kemudahan yang disediakan untuk
pelancong. Dengan itu aktiviti pelancongan pada tahap ini tidak mewujudkan
apa-apa kesan negatif terhadap persekitaran fizikal mahupun sosial. Pada tahap
penglibatan, penduduk tempatan biasanya akan melibatkan diri dengan menyediakan
kemudahan asas untuk pelancong. Kemudahan
asas yang disediakan biasanya pada peringkat kecil-kecilan sahaja. Pada tahap
pembangunan pula akan terdapat perubahan yang ketara yang melibatkan penyediaan
kemudahan moden yang lebih besar. Biasanya pelaburan modal yang besar akan
datang dari luar. Pada tahap ini bukan hanya pelaburan yang datang dari luar,
tetapi masyarakat luar juga terlibat.
Pelbagai cara dilakukan pada tahap ini untuk menarik
lebih ramai pelancong ke destinasi yang disediakan. Langkah-langkah promosi dan
pemasaran akan turut dilakukan. Pada tahap ini biasanya persekitaran fizikal
akan dieksploitasi sebanyak mungkin untuk menampung kunjungan lebih ramai
pelancong. Apabila persekitaran fizikal tidak lagi mampu untuk dieksploitasi
untuk pembangunan seterusnya destinasi tersebut dianggap sudah mencapai tahap
tepu. Pada peringkat ini bilangan pelancong telah melebihi daya tampung fizikal
dan psikologi. Keadaan seperti ini akan menyebabkan daya
tarikan destinasi berkenaan akan mula merosot dan mengakibatkan pelancong
mencari destinasi alternatif (Sulong Mohamad 2000). Sekiranya perkara ini
berlaku destinasi lama bukan hanya mengalami pengurangan pengunjung, tetapi
juga akan mengakibatkan kemerosotan kualiti persekitaran fizikalnya. Destinasi yang
lama akan hanya dikunjungi semula apabila ia mampu memberikan saingan kepada
destinasi baru.
Perkembangan sektor pelancongan di Malaysia telah dipengaruhi
oleh perubahan yang besar dan potensi industri pelancongan pada masa
hadapan. Memandangkan industri
pelancongan kini merupakan satu pemangkin kepada pendapatan negara, maka
pendekatan yang bersepadu dilaksanakan dalam perancangan dan perlaksanaan
industri pelancongan secara mampan (Nurul Ashila Khalid, 2006).
Pada era tahun 60-an, sektor
pelancongan masih belum memainkan peranan yang penting terhadap perkembangan
ekonomi negara. Kerajaan pada ketika itu memberi tumpuan kepada sektor hasil bumi
seperti bijih timah dan getah. Walaubagaimanapun, sektor pelancongan negara
telah mula dilihat mengalami perkembangan positif pada era tahun 70an. Ketibaan
pelancong melalui udara dan air ke Malaysia telah meningkat.
Sektor pelancongan negara
dilihat semakin berkembang pada awal tahun 80-an. Pada ketika ini negara sudah
aman daripada ancaman komunis dan juga ancaman luar. Pada tahun 1987,
Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan telah ditubuhkan. Kemudian pada tahun
1990 kerajaan telah menaiktaraf kementerian tersebut kepada Kementerian
Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia. Dengan penubuhan tersebut, ia
telah merancakkan lagi pembangunan industri pelancongan negara.
4.0
KEPENTINGAN DAN SUMBANGAN INDUSTRI PELANCONGAN TERHA DAP PEMBANGUNAN
EKONOMI NEGARA
Sektor industri pelancongan mempunyai kepentingan dan
sumbangannya terhadap pembangunan Negara ini. Dari segi ekonomi,sektor
pelancongan dapat meningkatkan ekonomi negara dari segi pengaliran wang asing
masuk ke negara kita. Pelancong yang datang dari negara luar harus menukar mata
wang negara mereka kepada mata wang Ringgit Malaysia sebelum boleh berbelanja
di sini. Ini dapat dilakukan sama ada di bank tempatan atau di pusat pertukaran
mata wang asing. Mata wang asing ini kemudian disimpan untuk digunakan ketika
membiayai perbelanjaan mengimport barang dari luar negara. Peniaga mata wang
asing juga mendapat keuntungan daripada perniagaan yang dijalankan. Pengaliran
masuk mata wang asing ke negara kita bukan sahaja menguntungkan entiti
perniagaan bahkan dapat digunakan untuk membeli barangan keperluan asas untuk
rakyat tempatan dari luar negara.
Di samping itu, sektor pelancongan juga dapat
memajukan bidang perniagaan di Malaysia. Ini adalah kerana pelancong asing yang
datang ke Malaysia memerlukan tempat penginapan, makanan dan minuman, perkhidmatan
pengangkutan, juru pandu pelancong dan perkhidmatan yang lain-lain. Pelancong
asing amat menggemari makanan sama ada makanan tradisonal mahu pun makanan
barat di Malaysia. Mereka diberi pilihan yang amat banyak sama ada menikmati
makanan di hotel bertaraf lima bintang, medan selera yang besar dan berhawa
dingin mahupun di kedai dan warung yang terletak di tepi jalan. Mereka juga
boleh menikmati hidangan makanan laut di restoran yang didirikan secara
terapung di atas air. Sambil menikmati makanan, mereka dapat menghirup panorama
yang amat cantik dan menghirup udara segar di tepi laut. Permintaan yang tinggi
terhadap makanan ini mewujudkan peluang perniagaan yang luas kepada usahawan
tempatan. Pusat-pusat penginapan juga giat dibina bagai cendawan tumbuh selepas
hujan di kawasan peranginan seperti di pulau dan tepi pantai.
Dari segi politik, sektor pelancongan dapat
memperkenalkan negara Malaysia ke seantero dunia. Misalnya, melalui kejohanan
perlumbaan kereta Formula 1 di litar Sepang, Sukan Komanwel 1998, kita dapat
mempopularkan negara kita dalam kalangan peminat sukan dunia. Selain itu, kita
dapat membuktikan bahawa kita mampu menjadi tuan rumah bagi sukan berprestij
dunia yang lengkap dengan pelbagai kemudahan prasarana. Slogan ‘’Malaysia
Boleh’’ telah membuktikan keupayaan negara kita dalam penganjuran sukan yang
bertaraf antarabangsa tersebut. Melalui penganjuran Kejohanan F1, Malaysia
dapat dipromosi ke seluruh dunia dengan kos yang rendah melalui siaran langsung
kejohanan tersebut ke seluruh dunia. Ini telah membuktikan bahawa tarikan
penganjuran sukan bertaraf dunia bukan sahaja menggalakkan kedatangan pelancong
ke negara kita bahkan dapat mempromosi Malaysia kepada dunia luar secara meluas
dengan kos yang minima.
Sebagai
sebuah negara yang menjanjikan percutian bertaraf antarabangsa kepada
pelancong, Malaysia sememangnya amat bertuah kerana dikurniakan dengan bentuk
muka bumi serta geografi yang indah. Ia merupakan daya penarik terkuat yang
dimiliki oleh Malaysia sehingga menjadi tumpuan pelancong daripada China, Timur
Tengah dan Eropah. Justeru itu, adalah wajar sekiranya pihak kerajaan
berganding bahu bersama-sama dengan sektor swasta bagi mengembeleng tenaga
dengan mempromosikan pusat-pusat pelancongan ini agar kestabilan ekonomi dapat
dicapai dengan wujudnya aliran matawang asing ke dalam Malaysia.
5.0 HALANGAN DAN CABARAN INDUSTRI PELANCONGAN
Pelbagai risiko yang perlu dititik beratkan, ini kerana dalam
bidang industri pelancongan juga mempunyai kebaikan dan keburukannya. Walaupun negara
Malaysia merupakan salah sebuah negara pilihan pelancong luar dan dalam negara
namun masih kebimbangan dalam risiko yang dihadapi. Namun demikian kita perlu
seiring dengan kemajuan industri pelancongan dengan negara luar. Sektor
pelancongan di negara kita berkembang maju dan menjadi sumber pendapatan negara
yang penting. Hal ini menyebabkan tempat pelancongan di negara ini dibuka
dengan banyak seperti cendawan selepas hujan. Kerajaan telah menggerakkan semua
agensinya untuk memastikan sektor pelancongan berkembang pesat sejajar dengan
pembangunan negara yang pantas.
Namun, masih ada ruang dan yang wajar dimanfaatkan oleh semua
pihak untuk memastikan semua pihak mendapat faedah daripada perkembangan sektor
ini. Jika ditinjau dengan mendalam terdapat banyak cabaran yang dihadapi oleh
sektor pelancongan di negara kita pada masa depan. Antara cabaran yang dihadapi
termasuklah persaingan sektor pelancongan dengan negara-negara yang lain. Hal
ini demikian, bukan sahaja negara kita tetapi negara-negara yang lain juga
mengetahui kebaikan dan kepentingan sektor pelancongan terhadap sesebuah
negara. Oleh itu banyak negara mempromosikan pelancongan di negara mereka dan
kita hendaklah bersaing dengan mereka untuk menjadi destinasi utama pelancong.
Oleh itu, kita haruslah membuat persediaan yang cukup untuk menarik para
pelancong ke negara kita.
Persaingan sememangnya wujud dalam mana-mana bentuk
industri atau perniagaan di seluruh dunia. Persaingan yang dihadapi merupakan
faktor utama sama ada untuk menjadikan sesebuah industri itu terus kukuh
mahupun lingkup. Dalam industri pelancongan ini, cabaran yang dihadapi
datangnya daripada persaingan tawaran atau perkhidmatan yang negara mampu
tawarkan dibandingkan dengan apa yang ada pada negara-negara jiran seperti Thailand,
Singapura dan Indonesia. Hal ini disokong oleh keunikan negara masing-masing
dan bagaimana untuk menggunakan tarikan ini sebagai faktor yang menentukan
jumlah kemasukan pelancong.
Bagi
menangani isu ini, kementerian bertanggungjawab perlu lebih proaktif dalam
mempromosikan keunikan Malaysia di mata dunia dengan menjalankan
program-program atau aktiviti yang boleh melonjakkan lagi nama Malaysia di
persada antarabangsa. Sekiranya perancangan yang dibuat lebih baik dari semasa
ke semasa, pelancong akan terus berkunjung walaupun telah melawat negara ini
pada tahun-tahun sebelumnya.
Di
samping itu, pencemaran alam sekitar juga merupakan salah satu cabaran sektor
pelancongan di negara kita pada masa depan. Hal ini disebabkan, pencemaran alam
sekitar kebelakangan ini menjadi semakin buruk akibat sikap tidak
bertanggungjawab segelintir ahli masyarakat dan telah merosakkan kecantikkan
alam sekeliling kita. Pada masa kini, negara kita mempunyai alam sekeliling
yang cantik sekali dan telah menjadi tulang belakang bagi sektor pelancongan di
negara kita. Jika pencemaran alam sekitar menjadi buruk, sektor pelancongan di
negara kita pasti dijejaskan kerana pelancong-pelancong hendak menikmati
persekitaran yang cantik dan bersih bukan yang kotor serta busuk.
Bukan itu
sahaja, kebudayaan tempatan yang semakin dilupai oleh orang ramai juga
merupakan salah satu faktor. Pada era globalisasi ini, terdapat ramai remaja
mengabaikan kebudayaan sendiri dan mempelajari budaya Barat. Remaja hari ini
beranggap bahawa mereka akan diketawai oleh kawan mereka jika mereka mewariskan
budaya daripada nenek moyang mereka. Kebudayaan merupakan faktor yang penting
dalam sektor pelancongan kerana pelancong-pelancong ini ingin merasai
kebudayaan yang tidak sama di negara lain. Banyak kebudayaan tempatan semakin
dilupai seperti permainan, seni persembahan yang tradisional dan
seandai-andainya.
Walau bagaimanapun, Malaysia juga tidak
terkecuali daripada berhadapan dengan pelbagai rintangan yang menjejaskan
industri pelancongan, terutama penyakit yang merebak dalam tempoh 1998 dan
1999. Antaranya wabak denggi di Pulau Pinang, wabak virus Coxsackie B yang mengorbankan lebih empat puluh
orang kanak-kanak di Sarawak, taun di Sabah serta wabak Japanese Encephlitis (JE) yang mengorbankan banyak
nyawa.Semua ini menjadi penghalang kepada kemasukan pelancong ke negara ini
dalam tempoh masa tersebut. Serangan wabak
penyakit SARS pada penghujung tahun 2002 pula telah menjejaskan prestasi
industri pelancongan, terutama sekali di rantau Asia, termasuklah Malaysia. Serangan
ini turut menampakkan ketidaksediaan pihak kerajaan dan swasta untuk menghadapi
cabaran sedemikian.
Konkluksinya,
negara kita akan menghadapi banyak cabaran dalam sektor pelancongan pada masa
depan. Kita sebagai ahli masyarakat haruslah menggemblengkan tangan “bagai aur
dengan tebing” untuk menghadapi segala cabaran masa depan. Marilah
Kita bersama-sama menghadapi cabaran dan menjanjikan sektor pelancongan sebagai
tulang ekonomi di negara kita.
6.0 SISTEM
SOKONGAN OLEH PIHAK KERAJAAN DAN SWASTA UNTUK PEMBANGUNAN INDUSTRI PELANCONGAN
MALAYSIA
Pada tahun 1972, Akta Perbadanan Kemajuan Pelancongan
Malaysia 1972 telah diluluskan oleh Parlimen dan mendapat persetujuan Diraja
dan dengan ini Perbadanan menjadi sebuah badan berkanun. Ahli-ahli
Lembaga Pengarang adalah dilantik oleh Y.B. Menteri Perdagangan dan
Perindustrian dan adalah bertanggungjawab menjalankan tugas-tugas Perbadanan
dan pentadbiran am mengenai hal ehwal dan urus Perbadanan. Di dalam menjalankan
tugas-tugas yang diperuntukkan, garis-garis yang ditetapkan oleh Perbadanan
adalah seperti memperkenalkan Malaysia di dalam pasaran antarabangsa dan
serantau, menambahkan perjalanan warganegara Malaysia di masa cuti di antara
negeri bagi menggiatkan lagi perkembangan pelancongan dalam negeri menyertai
dalam pembangunan fizikal industri pelancongan, mengadakan perhubungan
perwakilan dan menjalani tugas-tugas yang berhubung dengan pelancongan.
Antarabangsa dan serantau, menempatkan Malaysia sebagai pusat
konvensyen, mengikuti perkembangan pembangunan dan mempastikan keperluan
sekarang dan masa depan bagi pelancong-pelancong dalam negeri dan luar negeri
dan juga membuat pengesyoran bagi pembangunan Wilayah, mengumpul, mengolah
data-data pelancongan dan keterangan-keterangannya bagi penggunaan statistik
pelancongan, mengatur, mengawal dan menentukan Industri Pelancongan berkembang
bagi kepentingan negara.
Pelbagai aktiviti yang menarik telah diadakan oleh
pihak kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan. Aktiviti yang dimaksudkan adalah
seperti pameran kejohanan sukan bertaraf dunia termasuklah pameran
Maritim dan Udara Langkawi (LIMA) dan Kejohanan Lumba Basikal Tour de Langkawi.
Kejohanan-kejohanan dan pameran ini perlu dirancang dengan teliti agar dapat
dijalankan sepanjang masa dengan promosi yang lengkap dan meluas. Penganjuran
sukan bertaraf antarabangsa dapat memperkenalkan negara kepada perwakilan atau
atlet-atlet dari luar negara seterusnya dapat menarik kedatangan pelancong dari
seantero dunia dan membuktikan kepada mereka bahawa Malaysia bukan sahaja
cemerlang dari segi penganjuran sukan bertaraf antarabangsa tetapi juga
terbilang dalam bidang perlancongan. Kesannya, kedatangan pelancong ke negara
kita juga akan berterusan tanpa menunggu musim-musim tertentu sahaja.
Salah
satu cara sokongan kerajaan dalam meningkatkan industri pelancongan adalah
melalui, fungsi tourism Malaysia. Tourism Malaysia akan memanfaatkan promosi
dan pemasaran digital sepenuhnya melalui penggunaan perkakasan interaktif dan
media sosial yang inovatif untuk menawarkan pengalaman pelancongan yang
disesuaikan mengikut keperluan segmen pasaran khusus. Media sosial akan
digunakan untuk menguasai pasaran pelancong memandangkan pandangan dan ulasan
dalam talian menjadi semakin popular sebagai rujukan kepada pelancong dalam
membuat keputusan pengembaraan. Peserta industri akan digalakkan untuk
memaksimumkan potensi pemasaran digital dengan memanfaatkan platform yang
disediakan oleh Tourism Malaysia. Platform pemasaran akan dipertingkatkan untuk
lebih mesra pengguna, interaktif dan mempunyai kandungan yang menarik dan
relevan.
Pembangunan
dan pelaksanaan produk serta kemudahan secara bersepadu antara agensi Kerajaan
Persekutuan, kerajaan negeri dengan pihak berkuasa tempatan akan
dipertingkatkan. Usaha ini adalah untuk membolehkan kecekapan dan keberkesanan
dalam pembangunan pelancongan secara lestari dengan penggunaan sumber secara
optimum dapat dicapai. Semua projek pelancongan akan dibangunkan berdasarkan
Dasar Pelancongan Negara.
7.0 LANGKAH-LANGKAH
UNTUK MENDORONG DAN MEMBANGUNKAN INDUSTRI PELANCONGAN
Memandangkan
Malaysia mempunyai potensi yang besar dalam bidang pelancongan, inisiatif yang
efisien perlulah diambil untuk memajukan industri pelancongan di tanah air kita
(Tan Wan Hin, Yahya Ibrahim, 2005). Langkah yang primer ialah pihak kerajaan
perlulah memperbanyakkan lagi tempat-tempat pelancongan di negara ini untuk
menggalakkan lebih banyak pelancong antarabangsa datang ke negara kita dan
mengenal pasti tempat-tempat pelancongan yang baru dan menarik di negara ini.
Dengan itu, para pelancong akan mempunyai banyak alternatif tempat-tempat untuk
dilawati. Oleh itu, mereka tidak akan berasa bosan kerana melawat tempat yang
berlainan. Sebaliknya, para pelancong akan lebih meluaskan ilmu pengetahuan
seseorang pelancong itu (Nurul Aminah dan R.Ravendran, 2009).
Diantara langkah-langkah yang perlu diambil dan yang perlu ditekankan
adalah dengan memperbanyakkan tempat pelancongan yang baru serta mengenal pasti
tempat-tempat menarik yang baru,
serta
memajukan kemudahan pengangkutan dan menyediakan kemudahan asas untuk
para pelancong. Selain daripada itu
juga kita seharusnya mengekalkan keamanan negara. Menjalankan promosi secara
besar-besaran juga amatlah perlu untuk memperkenalkan negara Malaysia kepada
dunia luar. Malaysia merupakan
sesuatu negara tropika yang indah, aman dan sedang bergerak ke arah mencapai
status negara perindustrian yang maju. Lantaran itu, tidak hairanlah jika negara ini menjadi tumpuan para
pelancong dari seluruh pelosok dunia dan seantero dunia sejak belakangan ini.
Memandangkan Malaysia mempunyai potensi yang
besar dalam bidang pelancongan, inisiatif yang efisien perlulah diambil untuk
memajukan industri pelancongan di tanah air kita. Langkah yang primer
ialah pihak kerajaan perlulah memperbanyak tempat pelancongan di negara ini
untuk menggalakkan lebih banyak pelancong antarabangsa datang ke negara kita.
Kerajaan Malaysia juga perlulah mengenal pasti tempat-tempat pelancongan yang
baru dan menarik di negara ini dan berusaha utk memajukannya. Dalam kondisi
ini, para pelancong akan mempunyai banyak alternatif tempat-tempat untuk
dilawati. Oleh itu, mereka tidak akan berasa bosan kerana melawat tempat yang
berlainan. Sebaliknya, para pelancong akan lebih meluaskan ilmu pengetahuan
seseorang pelancong itu. Contohnya, bangunan bersejarah di Malaysia, Kota A
Famosa, tugu-tugu lama peninggalan penjajah, Muzium Negara dan lain-lain
perlulah dijaga dan akan menjadi tarikan pelancong dari negara asing. Bangunan
itu telah membuktikan peristiwa bersejarah bahawa negara kita pernah dijajah
oleh negara asing. Dengan ini, dapat memajukan industri pelancangon di
Malaysia. Sistem pengangkutan juga perlu dimajukan kerana ianya merupakan salah
satu langkah yang efektif untuk memajukan industri pelancongan di ibu pertiwi
ini. Dengan ini, sistem pengangkutan yang sistematik akan memudahkan pelancong
asing pergi dari satu destinasi ke satu destinasi yang lain.
Agensi penerbangan haruslah menawarkan
pakej istimewa atau tambang murah untuk pelancong antarabangsa
yang ingin bercuti di Malaysia. Penganjuran kempen oleh Kementerian Pelancongan
Malaysia juga dikatakan dapat meningkatkan jumlah pelancong ke negara ini.
Penganjuran kempen ini dilaksanakan oleh pihak Kementerian Pelancongan dengan membuat
lawatan rasmi ke luar negara bagi mempromosikan kebudayaan dan cara hidup
masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum. Contohnya,
lawatan rasmi Yang Berhormat Dato’ Sri Dr Ng Yen Yen ke Shanghai
sempena dengan Ekspo Dunia 2010. Keadaan ini akan menarik minat pelancong
antarabangsa berkunjung ke Malaysia dan merasai sendiri pengalaman dan keunikan
yang terdapat di negara ini. Selain itu, kempen ‘Malaysia
Truly Asia’ juga dapat menggalakkan pelancong antarabangsa untuk
berkunjung ke Malaysia. Tambahan lagi kerajaan hendaklah memastikan kualiti
servis atau perkhidmatan yang ditawarkan kepada pelancong adalah terjamin
mutunya. Kerajaan juga haruslah memastikan agensi pelancongan melatih para
pekerja yang terlibat dengan pelbagai perkhidmatan pelancongan seperti
perhotelan, agensi pemandu pelancong, pengangkutan dan lain-lain. Sebagai
contoh, agensi pelancongan haruslah melatih dan mengupah pemandu pelancong yang
berpengalaman serta fasih bertutur dalam pelbagai bahasa, Ini
untuk memudahkan pelancong dalam mendapatkan maklumat tentang sesuatu
perkara yang menarik minat mereka untuk mengetahuinya secara lebih mendalam.
Selain itu, rakyat
Malaysia haruslah bersikap ramah dan memberi layanan yang baik kepada
pelancong. Pelancong yang dilayan dengan ramah akan merasakan kedatangan mereka
ke tempat tersebut dihargai dan dialu-alukan oleh penduduk di kawasan
berkenaan. Keadaan ini secara tidak langsung akan mendorong mereka untuk membuat kunjungan kembali ke
destinasi tersebut setelah mengimbas kembali saat-saat mereka dilayan dengan
penuh mesra oleh penduduk tempatan.
8.0 RUMUSAN
Perspektif tentang sektor pelancongan di Malaysia
telah menjangkau segmen di luar tarikan keindahan alam semula jadi. Strategi
kepelbagaian segmen tarikan pelancongan memberikan kelebihan kepada Malaysia
untuk menawarkan produk pelancongan yang lebih berdaya saing. Sumbangan sektor
pelancongan terhadap pendapatan negara akan terus meningkat. Kedudukan ekonomi,
politik, sosial dan keselamatan yang baik menjamin bahawa negara ini akan
menjadi pilihan utama pelancong asing. Kedatangan hampir 30 juta pelancong
asing saban tahun membuktikan
bahawa Malaysia memiliki masa depan yang sangat cemerlang dalam sektor
pelancongan. Kini terdapat pelbagai langkah yang dapat dirancang dan
dilaksanakan untuk meningkatkan sektor pelancongan di negara kita. Semua
pihak hendaklah tampil dan menunjukkan iltizam yang tinggi untuk membantu
kerajaan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang hebat, bak
kata pepatah kalau tidak dipecahkan ruyung, di mana akan mendapat
sagunya. Jika tidak, segala keunikan dan kehebatan budaya pelbagai kaum
di negara ini akan sia-sia dan tidak dapat diketengahkan untuk dinikmati oleh
pelancongan tempatan dan mancanegara. Kerjasama dan kesungguhan semua
pihak yang terbabit akan menonjolkan Malaysia sebagai sebuah destinasi
pelancongan yang terkenal di dunia.
9.0 RUJUKAN
l Badaruddin Mohammad, Nimatul Adha Nordin. (2008). Perancangan
Pelancongan. Dewan Bahasa dan Pustaka.
l Nurul Aminah, R.Ravendran. (2009). Pelancongan dan
Rekreasi. Teks Tingkatan 4 & 5.
Dewan Bahasa dan Pustaka.
l Nurul
Ashila Khalid. (2006). Pelancongan Membeli Belah: Kepuasan Pengunjung
Terhadap Kemudahan-Kemudahan Awam Di Pekan Borong Nilai 3, Negeri Sembilan. Latihan
Ilmiah Jabatan Geografi, Fakulti Sains Sosial Dan Kemanusiaan, Universiti
Pendidikan Sultan Idris.
l Portal Rasmi Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan
Malaysia, 2015.
l Sulong Mohammad. (2000). Pengurusan Persekitaran
Di Malaysia: Isu Dan Cabaran. Bangi: Pusat Pengajian Siswazah, Universiti
Kebangsaan Malaysia.
l Tan Wan Hin, Yahya Ibrahim. (2005). Pelancongan
Pulau di Malaysia. UTHM, Pengajian Tinggi Malaysia.
l Yahya Ibrahim. (2010). Pembangunan Pelancongan Dan Perubahan
Komuniti. Dewan Bahasa
dan Pustaka.
No comments:
Post a Comment